ASNB umum dividen ASB 2 5.50 sen, ASM 5.00 sen bagi FY2026

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan 5.00 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

Dalam kenyataan hari ini, Permodalan Nasional Berhad memaklumkan jumlah keseluruhan agihan oleh anak syarikat milik penuhnya itu mencecah RM2.36 bilion.

ASB 2 merekodkan agihan pendapatan sebanyak RM0.82 bilion kepada 680,141 pemegang unit dengan pegangan 15.88 bilion unit, manakala ASM mengagihkan RM1.54 bilion kepada 786,088 pemegang unit yang memiliki 31.22 bilion unit.

Sehingga 24 Mac 2026, ASB 2 mencatatkan pendapatan direalisasi bersih RM0.90 bilion, sementara ASM merekodkan RM1.64 bilion.

Menurut PNB, kedua-dua dana itu terus menunjukkan prestasi stabil dengan pulangan yang kompetitif dan mampan, walaupun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.

“Prestasi ini dicapai dalam suasana pertumbuhan global yang tidak sekata, turun naik pasaran yang meningkat serta ketegangan geopolitik yang berterusan,” menurut kenyataan itu, seperti dipetik berita tempatan.

Tambah PNB, pendekatan pelaburan berdisiplin dengan strategi jangka panjang serta kepelbagaian aset termasuk pendapatan tetap, hartanah dan pelaburan swasta membantu mengurus risiko ketidaktentuan pasaran.

Kadar pulangan masing-masing sebanyak 5.50 peratus dan 5.00 peratus itu turut mengatasi kadar deposit tetap 12 bulan Maybank sebanyak 2.18 peratus, iaitu lebih tinggi 332 dan 282 mata asas.

Agihan pendapatan akan dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan dan akan dilabur semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit bermula 1 April 2026.

Urus niaga bagi kedua-dua dana akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Mac 2026 bagi tujuan pengiraan agihan, sebelum disambung semula pada 1 April menerusi portal dan aplikasi myASNB serta cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat