Astro Audio mohon maaf, penyampai 3 Pagi Era direhat

PETALING JAYA: ASTRO Audio memohon maaf dan melahirkan kekesalan atas insiden rakaman video yang tular melibatkan penyampai Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin.

Menerusi kenyataan rasmi, ASTRO Audio berkata, sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, pihaknya memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak sementara siasatan dalaman dijalankan.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak terlibat.

“Para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Tambah ASTRO Audio, pihaknya juga sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan pendengar.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.

“Kami amat menghargai maklum balas dari para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar dan memperbaiki diri,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan klip video yang tular, salah seorang penyampai Era FM yang dikenali sebagai Pak Azad dan beberapa kakitangan lain dilihat menari dengan nyanyian ‘vel vel’, seolah-olah mengejek tarian Kavadi Hindu itu.

Bagaimanapun, penyampai radio 3 Pagi Era, Radin Amir Affendi, Nabil Ahmad, termasuk Pak Azad kemudian membuat permohonan terbuka menerusi video yang dimuat naik di media sosial.

Anda Mungkin Berminat