ATM Beri Kerjasama Penuh Siasat Pegawai Terbabit Sindiket Barang Terlarang

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa pihaknya mengambil maklum berhubung penahanan beberapa pegawai yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah, rokok dan barangan lain.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, kes berkenaan kini dalam siasatan pihak berkuasa dan ATM akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Siasatan akan dijalankan secara terperinci dan ATM tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana warganya yang terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan disiplin tegas termasuk tindakan undang-undang, akan dikenakan sekiranya pegawai berkenaan didapati bersalah.

Dalam masa sama, beliau menggesa masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

“Beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh demi memastikan keadilan dan ketelusan proses,” katanya.

ATM turut memaklumkan bahawa perkembangan hasil siasatan dan langkah susulan akan diumumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

Anda Mungkin Berminat