PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera berhubung dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam kem tentera yang tular di media sosial sejak Ahad.
Dalam satu kenyataan media, kementerian menegaskan pihaknya memandang serius isu berkenaan dan menolak sebarang perlakuan yang bercanggah dengan nilai serta budaya ATM.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” katanya.
Kementerian turut menekankan bahawa dakwaan tersebut sama sekali tidak mencerminkan disiplin, profesionalisme dan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan yang menjadi teras ATM.
Orang ramai dalam masa sama dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi kementerian dan ATM.
“Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan mengenai budaya tidak sihat yang diamalkan segelintir pegawai ‘seragam loreng’ di mes kem tentera.
Budaya tersebut dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa, pergaulan tidak bermoral serta amalan yang bercanggah dengan etika perkhidmatan.








