ATM hantar pasukan perubatan bantu mangsa gempa Myanmar

PETALING JAYA: Malaysia menghantar pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar hari ini bagi melaksanakan Operasi Starlight III, susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.

Pasukan diketuai Kolonel Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad itu terdiri daripada 69 anggota, termasuk pegawai perubatan dan jurutera.

Mereka membawa Hospital Medan Tahap Dua, kelengkapan perubatan serta beberapa kenderaan dan trak logistik bagi menjalankan operasi di kawasan sukar diakses di wilayah Sagaing.

“Walaupun berdepan kesukaran, pasukan tetap bersemangat untuk membantu mangsa, selaras mandat kemanusiaan kerajaan,” katanya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, berkata misi sebulan itu dirancang secara teliti dengan mengambil kira faktor keselamatan dan infrastruktur terjejas.

“Operasi ini dijalankan dalam kawasan bergolak, dengan bekalan asas seperti air dan elektrik amat terhad,” katanya.

Pasukan dan peralatan diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay menaiki dua pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Malaysia menegaskan komitmen terhadap misi kemanusiaan serantau, termasuk bantuan awal berjumlah RM10 juta kepada Myanmar.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menyatakan solidariti bersama rakyat Myanmar dalam menghadapi bencana itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat