ATM: Itu hanya persepsi, Adly jawab Syed Saddiq


Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Proses perolehan aset pertahanan Malaysia kini dilaksana berlandaskan keperluan strategik dan kehendak ‘end-user’ menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Beliau menegaskan bahawa setiap aset yang diperoleh mesti memenuhi spesifikasi dan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum diluluskan.

“Keutamaan kita ialah memastikan aset memenuhi kehendak user itu sendiri.

“Penilaian teknikal melibatkan pengguna secara langsung, dan jika ‘user’ tidak menerima aset tersebut, ia tidak boleh diterima,” katanya semasa Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam menjawab persoalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Adly turut menegaskan bahawa kerajaan MADANI kini mengutamakan ketelusan dalam setiap keputusan perolehan.

“Proses ini bukan sekadar memilih syarikat, tetapi menilai dengan teliti dari aspek teknikal dan kewangan,” tambahnya.

Sebelum ini, Syed Saddiq mempertikaikan keputusan perolehan yang didakwa tidak memenuhi spesifikasi dan membebankan kos.

Beliau juga mengingatkan tentang isu rasuah dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang telah memberi kesan kepada rakyat serta dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Adly menjelaskan bahawa persepsi mengenai perubahan keputusan adalah tidak tepat.

“Keputusan dibuat berdasarkan proses yang telus, dan user telah diberikan ruang untuk menentukan pemilikan aset dari awal hingga akhir,” jelasnya.

Kerajaan MADANI komited untuk memastikan proses perolehan aset pertahanan ATM kekal adil, telus dan berpandukan kehendak strategik demi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat