ATM Sedia Evakuasi Rakyat Malaysia dari Iran Jika Diarah

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia melaksanakan operasi pemindahan rakyat Malaysia dari Tehran, Iran sekiranya menerima arahan rasmi daripada kerajaan, susulan ketegangan yang semakin meruncing di rantau itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa sehingga kini tiada permintaan rasmi diterima daripada Kementerian Luar untuk melaksanakan operasi evakuasi.

“Buat masa ini, kita belum terima apa-apa arahan. Biasanya perkara seperti ini diselaras oleh Kementerian Luar.

“Sudah tentu mereka sedang meneliti kaedah terbaik kerana tidak semua pesawat boleh masuk ke Tehran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59 di Wisma Perwira ATM, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sekiranya keputusan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dibuat, ATM bersiap sedia menggalas apa jua peranan yang diputuskan kerajaan.

“Kalau ada keperluan, kita sedia bantu. Tetapi dalam situasi sekarang, penggunaan pesawat tentera mungkin tidak sesuai kerana dikhuatiri mencetuskan salah faham, mungkin disangka ada campur tangan ketenteraan Malaysia,” katanya lagi.

Menyentuh tentang kedudukan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang kini menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Asia Barat, beliau menegaskan bahawa ATM kekal berhubung rapat dengan mereka.

“Kedudukan mereka agak jauh dari kawasan konflik tetapi kita tetap pantau dan berhubung secara berterusan. Sekiranya perlu, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pagi tadi mengesahkan seramai 15 rakyat Malaysia dan seorang warga Singapura bersedia untuk dipindahkan dari Iran dalam masa terdekat.

Kumpulan tersebut melibatkan 12 rakyat Malaysia, seorang pemastautin tetap (PR), dua pasangan warga Iran dan seorang warga Singapura.

Pemindahan itu dilakukan atas gesaan Wisma Putra yang menasihatkan semua rakyat Malaysia di Iran supaya meninggalkan negara itu serta-merta dengan apa-apa kaedah yang selamat dan tersedia.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa situasi di Tehran kini sangat tidak menentu dan berisiko meruncing tanpa sebarang amaran awal.

Ketegangan antara Iran dan Israel memasuki hari ketujuh dengan serangan balas kedua-dua pihak dilaporkan telah meragut lebih 500 nyawa setakat ini.

Anda Mungkin Berminat