ATM tegaskan maklumat strategik selamat, kebocoran hanya peringkat taktikal

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan bahawa kebocoran maklumat susulan penahanan lima pegawai kanan yang disyaki bekerjasama dengan sindiket penyeludupan hanya melibatkan maklumat peringkat taktikal dan tidak menjejaskan operasi atau strategi ketenteraan negara.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, berkata dapatan awal itu diperoleh melalui Lembaga Siasatan Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) yang dibentuk pada Selasa lalu bagi menyiasat tahap kebocoran maklumat terbabit.

“ATM mengambil serius isu penahanan lima pegawai kanan yang disyaki membocorkan maklumat ketenteraan.

“Lembaga siasatan di bawah MDIO ditubuhkan bagi mengenal pasti sebarang kebocoran keselamatan kerana kita tidak mahu kes serupa berulang. Setakat ini, kebocoran hanya melibatkan maklumat taktikal sahaja dan bukannya operasi atau strategik,” katanya kepada media.

Menurutnya, keselamatan negara tidak tergugat dan semua pegawai terbabit telah dipindahkan ke cawangan lain serta-merta sehingga siasatan selesai.

“Kami juga telah memberi taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Isnin lalu,” katanya lagi.

Pada 13 Ogos lalu, Bahagian Perisikan dan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM menahan 10 individu, termasuk lima pegawai kanan ATM, dua wartawan bekas tentera dan tiga individu awam termasuk seorang warga Indonesia, dalam Ops Sohor.

Lima pegawai kanan tentera itu terdiri daripada seorang Kolonel, tiga Leftenan Kolonel dan seorang Kapten, dengan tiga daripadanya pegawai perisikan aktif MDIO.

Mereka disyaki membocorkan maklumat pergerakan anggota keselamatan kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor, serta menerima rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 setiap transaksi.

Barangan seludup yang ditangkap termasuk dadah, rokok dan barangan lain bernilai kira-kira RM5 juta sebulan.

Dalam serbuan, SPRM turut menemui wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang, minuman keras serta senjata tiruan.

Mohd Nizam menegaskan bahawa tindakan undang-undang ketenteraan akan diambil terhadap pegawai terbabit sejurus siasatan awam SPRM selesai.

“Kami tidak mahu berlaku double jeopardy, jadi siasatan SPRM diutamakan dahulu. Namun, keselamatan negara tetap menjadi keutamaan dan tindakan segera diambil bagi memastikan isu ini tidak menjejaskan ATM,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat