ATM Terima 14 Pesawat Tanpa Pemandu Dari Jepun

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima 14 unit pesawat tanpa pemandu (UAV) bernilai 400 juta Yen (RM12.63 juta) daripada Kerajaan Jepun, sebagai sebahagian daripada inisiatif Official Security Assistance (OSA) yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik pertahanan antara kedua-dua negara.

Majlis penyerahan rasmi berlangsung di Auditorium Binary, Kompleks Haigate ATM, dan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, bersama barisan kepimpinan tertinggi ATM termasuk Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Timbalan Panglima Tentera Laut dan Timbalan Panglima Tentera Udara.

Menurut Mohamed Khaled, pengagihan UAV akan melibatkan enam unit kepada Tentera Darat Malaysia, enam kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, manakala dua lagi akan ditempatkan di Markas ATM di bawah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan.

“Kerjasama ini membolehkan ATM memanfaatkan peluang pertahanan antarabangsa bagi memperkukuh sistem keselamatan negara, selain mengekalkan hubungan ketenteraan dengan negara serantau demi keamanan dan kestabilan,” katanya.

Beliau berkata, sokongan Jepun mencerminkan hubungan erat yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.

“Malaysia amat menghargai bantuan ini kerana ia bukan sahaja memperkasa keupayaan aset pertahanan, malah mengukuhkan keyakinan strategik dengan rakan antarabangsa,” katanya.

Anda Mungkin Berminat