Oleh: Tyah Helmi
SYDNEY: Hampir separuh syarikat perniagaan di Australia kini mengurangkan kadar syif pekerja malah menawarkan lebih banyak hari bekerja dari rumah.
Memetik portal berita antarabangsa, negara itu turut menghentikan pengambilan pekerja baharu ekoran lonjakan kos bahan api yang menekan.
Manakala, data terbaharu Business NSW mendedahkan sebanyak 47 peratus majikan sedang menilai semula tahap tenaga kerja dan waktu bekerja apabila peningkatan kos bahan api dan pengangkutan mula memberi kesan kepada peluang pekerjaan.
Berdasarkan dapatan yang diperoleh daripada lebih 630 perniagaan terbabit turut menunjukkan skala tekanan yang dihadapi sektor berkenaan semakin ketara.
Manakala, sebanyak 84 peratus responden memaklumkan krisis berkenaan sudah menjejaskan operasi mereka, manakala 37 peratus melaporkan impak yang signifikan atau serius.
Dalam kalangan pekerja, kesan tersebut mula dirasai apabila hampir satu daripada tiga perniagaan mengurangkan waktu kerja atau pendapatan kakitangan. Selain itu, 35 peratus majikan menyatakan pekerja semakin bimbang terhadap jaminan pekerjaan mereka.

Pada masa sama, 19 peratus perniagaan melaporkan pekerja mula memohon tambahan hari bekerja dari rumah bagi mengurangkan kos bahan api.
Data itu turut menunjukkan tekanan semakin memuncak khususnya di kawasan luar bandar, di mana kos pengangkutan lebih sukar diserap.
Ketua Pegawai Eksekutif Business NSW, Daniel Hunter berkata, perniagaan kini terpaksa membuat keputusan sukar dalam menghadapi situasi tersebut.
Beliau berkata, peningkatan kos yang mendadak memaksa majikan mempertimbangkan pengurangan waktu bekerja atau tenaga kerja, meskipun langkah itu bukan pilihan utama.
Dalam masa sama, pengusaha memaklumkan mereka terpaksa menyerap kenaikan kos bahan api, logistik dan pembekal selain berdepan perbelanjaan pengguna yang semakin lemah, sekali gus mengehadkan ruang untuk bertindak.
Situasi itu turut mencetuskan gesaan baharu supaya kerajaan campur tangan, termasuk mempertimbangkan pengurangan cukai gaji khususnya bagi perniagaan di kawasan luar bandar.
Ketika ini, kadar cukai gaji di New South Wales adalah sebanyak 5.45 peratus, antara yang tertinggi di negara itu, dengan ambang cukai kekal pada paras AUD1.2 juta walaupun kadar gaji terus meningkat.
Baca juga:








