Australia Rakan Strategik Utama ASEAN Di Bawah Kepimpinan Malaysia

KUALA LUMPUR: Australia menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, yang membawa tema ‘Inklusif dan Mampan’, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penghargaan itu disampaikan dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN–Australia ke-5, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

“Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi Australia terhadap Pengerusian ASEAN oleh Malaysia, yang menekankan prinsip keterangkuman dan kemampanan,” katanya.

Beliau berkata, Australia kekal sebagai rakan strategik utama ASEAN, meskipun wujud pelbagai perdebatan mengenai dasar serantau.

“Australia masih menjadi rakan terawal ASEAN dan terus menunjukkan komitmen terhadap pelaksanaan ASEAN 2045: Our Shared Future,” ujarnya.

Hubungan erat antara kedua-dua pihak telah menghasilkan beberapa pencapaian penting termasuk penandatanganan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 2020, Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021 serta naik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Australia–New Zealand pada 2023.

Anwar turut menyuarakan keyakinan bahawa hubungan antara rakyat ASEAN dan Australia akan terus berkembang khususnya dalam bidang pendidikan, perniagaan dan penyelidikan.

“Saya optimis hubungan antara rakyat ASEAN dan Australia yang melibatkan pelajar, ahli perniagaan serta penyelidik akan terus memperkukuh jalinan erat sedia ada,” katanya.

Anda Mungkin Berminat