AWAN: Pihak lawan terdesak, fitnah dan ekstremis

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak sekeras-kerasnya dakwaan jahat yang mengaitkan kononnya parti ini membawa fitnah terhadap agama dan dianggap lebih berbahaya.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sebagai sebuah parti yang menjunjung Islam sebagai rahmat untuk semua (Rahmatan Lil ‘Alamin), AMANAH menolak sebarang bentuk politik fitnah, ekstremisme atau retorik yang memecah-belahkan masyarakat.

“Tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah prinsip perjuangan AWAN dalam membina sebuah negara yang lebih adil, harmoni dan progresif.

“AMANAH berpegang teguh kepada politik nilai iaitu politik yang berlandaskan prinsip Islam yang adil, beretika dan inklusif.

“Dakwaan bahawa parti ini membahayakan agama hanyalah tindakan terdesak pihak lawan untuk memesongkan pandangan rakyat daripada keperluan sebenar politik yang berakhlak dan berintegriti,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, AMANAH akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memfitnah parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, berkata laporan itu susulan ucapan Muhammad Sanusi pada program Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kedah yang mendakwa AMANAH dilahirkan DAP.

Aiman Athirah berkata, tuduhan bahawa AMANAH menjadi alat kepada mana-mana pihak adalah tidak benar kerana setiap dasar, program dan keputusan yang dibuat adalah mengambil kira perlembagaan persekutuan, rukun negara dan kepentingan rakyat dan negara.

“Pihak yang menuduh AMANAH sebagai ancaman kepada agama perlu bertanya kepada diri sendiri adakah mereka benar-benar memahami asas bernegara, menyanjungi perpaduan dalam kepelbagaian dan mengutamakan rakyat dan negara atau masih asyik bermain dengan sentimen perkauman dan keagamaan agar terus relevan sekaligus mengekalkan kuasa,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat