Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Sarawak, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-21 pada Isnin.
Pelantikannya bagi menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemuka nama Awang Bemee, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Isnin.
Cadangan itu disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga anak jati negeri Sarawak, pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Borneo Sarawak bermula pada tahun 1984 dan berpengalaman mengendalikan pelbagai kes di semua peringkat mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, Anwar telah hadir ke Dewan Negara bagi sesi pelantikan itu.
“Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching sejak 1998 dan pernah berkhidmat sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak selama tiga penggal.
“Pengalaman luas beliau, baik di peringkat negeri dan persekutuan, pastinya mampu mengangkat martabat Dewan Negara ke tahap yang lebih tinggi lagi. Selamat menjalankan tugas,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Pada 15 Julai lalu, Awang Bemee telah dilantik sebagai Senator oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Awang Bemee juga merupakan pengamal undang-undang dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011).
Beliau juga merupakan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan pengarah sebuah anak syarikat badan berkanun yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Baca juga: