KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pinjaman wang melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp dan Telegram yang kelihatan terlalu mudah atau tidak munasabah.
Menurut JSJK, penipu sering menyamar sebagai syarikat kewangan, koperasi atau bank dan meminta bayaran pendahuluan kononnya untuk yuran proses, duti setem atau insurans pinjaman.
“Selepas bayaran dibuat, ‘pemberi pinjaman’ akan menghilangkan diri dan mangsa tidak menerima sebarang wang pinjaman,” menurut hantaran JSJK di Facebook pada Isnin.
Jabatan itu menekankan bahawa pinjaman sah tidak memerlukan sebarang bayaran pendahuluan dan orang ramai perlu lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang transaksi kewangan melalui platform digital.
“Orang ramai dinasihatkan untuk ambil tahu dan ambil peduli. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman yang terlalu mudah,” tambah JSJK.
Modus operandi penipu biasanya termasuk penyamaran sebagai institusi kewangan dan manipulasi mangsa supaya membayar sejumlah wang sebelum pinjaman dikreditkan.
Orang ramai yang menerima sebarang tawaran mencurigakan diminta melaporkan segera kepada pihak polis bagi mengelakkan kerugian.
JSJK mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berwaspada dan bijak menilai tawaran pinjaman dalam talian, terutama yang melibatkan pembayaran pendahuluan.
Baca juga:








