VOKALIS kumpulan rock tersohor tanah air, WINGS, Datuk Awie mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat selepas memuat naik poster misteri di Instagramnya semalam.
Poster berkenaan memaparkan tulisan “November 2025, 4 Dekad Terbang Tinggi” dengan latar belakang hitam dan logo WINGS, bersama kapsyen ringkas namun penuh makna –“Bersedialah”.
Perkongsian itu pantas mencuri perhatian warga maya, dengan ramai menjangkakan ia sebagai petunjuk kepada penganjuran konsert mega sempena ulang tahun ke-40 penubuhan kumpulan rock legenda itu.
Rata-rata peminat meluahkan keterujaan di ruangan komen dan berharap WINGS bakal menggegarkan pentas berskala besar hujung tahun ini.
“Konsert 4 dekad WINGS mesti gempak. Kami tunggu!” tulis seorang pengikut Awie.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada WINGS mahupun pihak pengurusan mereka, namun poster itu cukup kuat untuk memberi bayangan bahawa sesuatu yang besar sedang dirancang.
WINGS, yang kini diterajui Awie bersama Joe, Eddie dan Black, ditubuhkan pada 1985 dan terus kekal relevan sehingga hari ini dengan deretan lagu hit seperti Sejati, Inspirasi Taming Sari dan Ranggi Metropolis.
Jika benar konsert ini direalisasikan, ia bakal menjadi antara acara terbesar dalam industri muzik Malaysia bagi tahun 2025 , sekaligus meraikan empat dekad legasi rock tempatan.
Baca juga:








