Ayuh! Lontar cadangan anda untuk Portal Belanjawan 2026

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) hari ini melancarkan Portal Cadangan Belanjawan 2026, membuka peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan bagi penyediaan belanjawan negara yang akan dibentangkan pada 10 Oktober ini.

Langkah itu seiring dengan hasrat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memperkukuh ketelusan dan amalan demokrasi penyertaan dalam proses merangka belanjawan tahunan.

Anwar berkata, Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada penyampaian agenda ekonomi jangka panjang, selain menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi.

“Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi bantuan lebih bersasar ke arah menambah baik kualiti hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 semalam menghimpunkan hampir 300 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

“Antara topik dibincangkan termasuk pendidikan, kesihatan, pemerkasaan ekonomi Bumiputera, pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemuliharaan alam sekitar,” menurut MOT lagi.

Orang ramai boleh mengemukakan cadangan melalui portal di www.belanjawan.mof.gov.my sehingga 3 Oktober ini bagi memastikan suara mereka dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat