PETALING JAYA: Malaysia akan menghantar dua wakil menteri ke Istiadat Pengebumian Negara untuk mendiang Pope Francis di Bandar Vatican pada 26 April.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick akan mewakili negara dalam upacara bersejarah tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, upacara pengebumian itu akan dijalankan sebagai sebuah ritual keagamaan berdasarkan adat.
“Roman Katolik (Misa Pengebumian) di St. Peter’s Square, Vatican City yang akan dipimpin oleh Giovanni, Ketua Kolej Kardinal.
“Setelah itu, satu istiadat perarakan akan diadakan bagi mengiringi jenazah Pope Francis ke Basilika Santa Maria Maggiore di Rom, di mana beliau akan disemadikan dalam satu upacara tertutup,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Pope Francis pada 23 April lalu.
Beliau memperingati sumbangan besar mendiang dalam usaha dialog antara agama, pengurusan alam sekitar dan perlindungan hak golongan yang dimarginalisasi.
Selain itu, Wisma Putra memaklumkan bahawa Ewon Benedick telah menandatangani Buku Takziah di Kedutaan Besar Holy See di Kuala Lumpur bagi pihak Kerajaan Malaysia.