PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengucapkan penghargaan terhadap sokongan Nurul Izzah Anwar dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Azalina menegaskan bahawa perjuangan membela rakyat Palestin melangkaui batasan agama, politik dan sempadan negara.
Katanya, Malaysia sememangnya sesuai untuk memainkan peranan berkenaan kerana telah terbukti negara mampu bersatu sebagai satu suara, walaupun daripada latar belakang yang pelbagai.
“Terima kasih sis Nurul Izzah Anwar di atas sokongan dalam perjuangan untuk membela nasib saudara kita di Gaza.
“Perjuangan ini lebih daripada sekadar agama, politik atau sempadan negara. Ia adalah perjuangan untuk semua manusia,” katanya pada Isnin.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah atas pencalonannya sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), menyifatkannya sebagai langkah positif untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam politik arus perdana.
“Moga ini jadi titik permulaan kepada lebih ramai wanita untuk mengambil bahagian dalam politik arus perdana. ‘You go girl!’. Selamat Hari Ibu juga untuk kamu,” ujarnya.
Baca juga: