PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memberi bayangan perkhidmatannya dalam agensi itu tidak akan disambung apabila kontraknya tamat pada tahun hadapan.
Beliau berkata, kontraknya sebelum ini sudah disambung sebanyak tiga kali dan perkara itu dilihat tidak disenangi sebahagian pihak, termasuk bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Insya-Allah tahun depan saya tamat perkhidmatan. Sudah tiga kali kontrak disambung dan ada pihak yang tidak bersetuju, termasuk Rafizi yang secara terbuka menyuarakan pandangan supaya saya tidak disambung,” katanya dipetik.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program SPRM–UiTM 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam pada Rabu.
Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menggesa kepimpinan Pakatan Harapan supaya tidak menyambung kontrak Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, susulan prestasi kerajaan dalam isu reformasi antirasuah.
Menurut Rafizi, kelemahan pelaksanaan agenda reformasi, khususnya usaha membanteras rasuah, antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Mengulas lanjut, Azam menegaskan penyambungan kontrak bukan keutamaan beliau, sebaliknya menaruh harapan agar agenda memperkukuh integriti dan tadbir urus negara diteruskan tanpa rasa takut dan pilih kasih.
Baca juga:








