Azam Baki Fail Saman RM100 Juta Terhadap Bloomberg Terkait Laporan Saham

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg dan anak syarikatnya, Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, berhubung artikel bertajuk ‘Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry’ yang diterbitkan pada 10 Februari lalu.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat dengan Azam menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta selain beberapa perintah mahkamah lain.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dipetik MalaysiaKini, beliau turut memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan kenyataan serupa yang didakwa berunsur fitnah.

Artikel berkenaan juga diminta dipadam dalam tempoh tiga hari selepas penghakiman.

Selain itu, Azam menuntut permohonan maaf diterbitkan dalam bentuk yang dipersetujui peguamnya di akhbar dan media sosial pilihan serta ganti rugi teruk dan teladan.

Beliau turut menuntut faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman.

Dalam pernyataan tuntutan, Azam mendakwa artikel tersebut menjejaskan reputasinya dengan menggambarkannya sebagai penjawat awam tidak berintegriti serta melanggar peraturan perisytiharan harta.

Beliau berkata, semua pemerolehan dan pelupusan saham telah diisytiharkan melalui saluran rasmi termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRIMS) dan saham yang dipersoalkan telah dilupuskan sebelum laporan diterbitkan.

Azam juga menyatakan bahawa beliau telah menghantar surat tuntutan sebelum saman difailkan, namun Bloomberg membalas dengan kenyataan bahawa mereka ‘stand by our reporting’.

Dakwanya lagi, pihak media itu gagal mengambil kira sepenuhnya penjelasan terperinci yang diberikan sebelum artikel diterbitkan serta tidak membuat pengesahan fakta yang wajar.

Terdahulu, laporan media mendakwa Azam memiliki sejumlah besar saham dalam dua syarikat, melebihi had dibenarkan dalam perkhidmatan awam.

Susulan kontroversi itu, kerajaan pada 13 Februari lalu menubuhkan jawatankuasa khas diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi menyiasat dakwaan berkaitan pemilikan saham berkenaan.

Bagaimanapun, saman yang difailkan Azam hanya melibatkan dakwaan berhubung isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan dirinya.

Anda Mungkin Berminat