Azan dari pelbagai arah, pengembara akui Malaysia unik

PERKONGSIAN seorang pengembara mengenai pengalaman berada di Malaysia mencuri perhatian ramai di aplikasi Thread apabila menggambarkan suasana unik kehidupan di negara ini.

Menerusi akaun @myerstravel, individu itu meluahkan rasa teruja mendengar laungan azan berkumandang dari pelbagai arah, sesuatu yang disifatkan sebagai pengalaman istimewa di negara majoriti Muslim.

“Satu perasaan yang sangat istimewa apabila mendengar azan dari segenap penjuru… alangkah indahnya jika dapat tinggal di sebuah negara Muslim sebagai seorang Muslim,” tulisnya.

Perkongsian itu tular dan dibanjiri pelbagai reaksi, termasuk daripada pengguna bukan Muslim yang turut berkongsi pandangan serupa.

Seorang pengguna, @komala.appalanaidu berkata, bunyi azan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya.

“Kalau saya tak dengar azan, terasa seperti tak normal. Saya sudah terbiasa dan ia sebahagian daripada apa yang saya anggap sebagai ‘rumah’,” katanya.

Dalam masa sama, seorang lagi pengguna, @muzamirarief tampil memberikan perspektif lebih luas mengenai kedudukan Islam di negara ini.

Dia menjelaskan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan, dengan sistem perundangan yang menggabungkan undang-undang sivil dan syariah untuk umat Islam.

Pandangan itu, menurutnya, turut disokong oleh sebahagian sarjana serta tokoh seperti Mahathir Mohamad yang melihat Malaysia memenuhi ciri-ciri tertentu sebagai sebuah negara Islam.

Perkongsian berkenaan sekali lagi memperlihatkan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk yang hidup dalam suasana harmoni, di mana kepelbagaian agama dan budaya menjadi sebahagian daripada identiti bersama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat