KUALA LUMPUR: Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa esok, menurut kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pelantikan Azhan, yang kini menjawat jawatan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dibuat selaras keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember lalu.
“Pelantikan ini diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia serta meningkatkan keupayaan operasi ATM dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara kini dan masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pelantikan Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan. Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan membabitkan beliau.
“Pemangkuan tugas Panglima Angkatan Tentera akan dilaksanakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain, selaras pengumuman pada 27 Disember lalu,” jelas Mohamed Khaled.
Tegas beliau, semua langkah diambil bagi menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti ATM.
Pelantikan Datuk Azhan menandakan kesinambungan kepimpinan dalam Tentera Darat Malaysia ketika ATM terus menghadapi cabaran pertahanan negara pada era moden ini.
Baca juga:








