Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendefinisikan dirinya mempunyai mentaliti yang berbeza dan sentiasa ingin mendominasi kejayaan dalam sukannya.
Pelumba basikal yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman bukan sekadar omong kosong kerana sejak awal lagi beliau tidak pernah meluahkan kebimbangan terhadap implikasi yang berlaku jika berada di puncak terlalu awal.
“Terjumpa gambar lama pada tahun 2010 ketika memenangi acara Keirin di Siri Kejohanan Piala Dunia Cali, Colombia.
“Ketika itu saya hanya berusia 22 tahun dan sudah berada di puncak dunia bersama jagoan yang lain. Ketika sekitar zaman ini, apabila berdepan dengan pihak media, saya sering dilontarkan dengan soalan, ‘Azizul tak takut ke peak terlalu awal di dalam karier, nanti tak dapat bertahan lama?’
“Jawab saya mudah, tidak. Ini kerana, saya adalah seorang yang dahagakan kejayaan dan saya mempunyai mentaliti yang berbeza.
“Ianya bukanlah ungkapan semata-mata akan tetapi sebuah bibit kata yang diadun dengan tindakan yang berterusan yang akhirnya menjadi sebuah kenyataan.
“Alhamdulillah, 2024 saya masih kekal berdiri di sini,” katanya pelumba berusia 35 tahun itu.
Perkara itu dikongsikan Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut sertakan bersama beberapa gambar saat beliau muncul juara Siri Kejohanan Piala Dunia di Cali, Colombia pada 2010.
Azizul sememangnya seorang atlet yang mempunyai gelaran juara kerana sentiasa membuat kemucnulan semula selepas tragedi hitam seperti menjalani pembedahan jantung pada April 2022.
Perkara itu menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang, namun masih lagi bebrisa setelah menggondol dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal trek Asia (ACC) pada Jun tahun lalu.
Tidak terhenti di situ, beliau kini sekali lagi diletakkan sebagai sandaran untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.
Baca juga: