Azlee mohon peminat doakan kesihatan Hamdan

Anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar mengakui terkejut apabila dimaklumkan Hamdan Ramli ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru.

Malah Azlee, 54, turut berkata, rakannya itu tidak mempamerkan sebarang reaksi tidak sihat atau mempunyai penyakit yang serius.

“Kami ada showcase di Johor Bahru, program berhibur sambil beramal bagi membantu artis-artis veteran yang sakit seperti Mat Sentol. Ketika Hamdan tiba 30 Disember lalu, dia masih kelihatan sihat dan ceria, kami makan malam bersama-sama.

“Tetapi keesokan paginya, ahli keluarga memaklumkan dia terjatuh dan tidak berapa sihat, jadi kami nasihatkan agar jangan datang latihan dan berehat sahaja.

“Namun, pada pukul 5 petang, kami dimaklumkan isterinya bahawa Hamdan dimasukkan ke hospital dan keadaannya kritikal. Kami bagaimanapun terpaksa meneruskan persembahan dan datang melawatnya kemudian,” katanya.

Kata Azlee, berita mengejutkan itu berlaku ketika kumpulan berkenaan menyambut ulang tahun ke-27 pada Ahad.

“Tahun ini kami merancang membuat penggambaran filem Senario Legend termasuk Lan Pet Pet. Perkhabaran Hamdan ditidurkan adalah perkara yang sedih sekali bagi kami.

“Ini semua ujian, kami hanya mampu berdoa dan berharap rakyat Malaysia khususnya peminat kumpulan Senario untuk berdoa agar ada keajaiban dan dia kembali sihat seperti biasa,” katanya menurut Kosmo.

Selain Azlee, turut hadir melawat Hamdan di HSA seluruh ahli Senario, termasuklah Pak Ya, Apek, Wahid dan Yasin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat