KUALA LUMPUR: Filem ‘Babah’ muncul sebagai juara Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), membawa pulang enam trofi utama termasuk anugerah paling berprestij iaitu Filem Terbaik serta Dana Kandungan Kreatif bernilai RM1 juta.
Diarahkan oleh Mohd Shah Faizul Ibrahim dan diterbitkan oleh Nads Media Entertainment, ‘Babah’ bukan sekadar sebuah karya seni tetapi cerminan kasih sayang dan pengorbanan dalam institusi keluarga.
Filem itu menewaskan pesaing hebat seperti ‘Blood Brothers: Bara Naga’, ‘Reversi’, ‘Takluk: Lahad Datu’ dan ‘Soloz: Game of Life’, membuktikan bahawa kekuatan emosi dan naratif yang tulus mampu mengatasi aksi dan teknologi.
“Filem ini adalah tentang jiwa, tentang cinta seorang ayah yang tidak pernah luntur walau diuji masa dan keadaan.
“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada semua ‘babah’ di luar sana yang sering dilupakan tetapi sentiasa menjadi tulang belakang keluarga,” kata Mohd Shah Faizul yang turut dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Terbaik.
Pelakon utama Qi Razali dan Sweet Qismina turut mencipta sejarah apabila masing-masing merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik.
Lakonan mereka yang penuh penghayatan menjadikan ‘Babah’ bukan sekadar ditonton tetapi dirasai.
Trofi Filem Terbaik disampaikan sendiri oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang turut mengumumkan pemberian Dana Kandungan Kreatif RM1 juta kepada penerbit filem sebagai sokongan kepada karya berkualiti tinggi.








