WANGSA MAJU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan semua pihak untuk menerima dengan hati terbuka berhubung titah Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat.
“Ya, kena baca, kena hadam dan kena terima perintah Tuanku (Yang di-Pertuan Agong),” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan dan makan tengah hari di Medan Selera Seksyen 10, dekat Wangsa Maju, Selangor pada Jumaat.
Turut mengiringi beliau adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Sebelum ini, cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Menurut Istana Negara, kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.
Kenyataan Istana Negara itu dikeluarkan menjelang himpunan solidariti yang dianjurkan UMNO bagi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin depan.
Anwar juga sempat ditanya sama ada kenyataan Istana Negara itu mempunyai kaitan dengan himpunan solidariti bagi menyokong Najib.
Namun, beliau secara ringkas hanya menjawab: “Kena baca, kena baca.”
Untuk rekod, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa dalam kes SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.