PETALING JAYA: Bukan tidak cukup berani tetapi ia tuduhan tidak berasaskan fakta atau analisis ekonomi yang sahih, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang mendakwa Belanjawan 2026 “tempang” sedaangkan kata Mahfuz kenyataan pembangkang itu hanya bermotif politik dan tidak berpaksikan data kewangan negara.
“Yang tempang bukan bajet, tapi cara kepala otak beliau membaca bajet negara dengan mata politik, bukan dengan akal ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tuduhan kononnya negeri pembangkang tidak mendapat peruntukan seimbang adalah tidak benar, kerana kerajaan telah menyalurkan pelbagai projek pembangunan di Kelantan, Terengganu dan Kedah termasuk dalam sektor air, infrastruktur dan agromakanan.
“Kalau hendak bercakap soal keadilan wilayah, bacalah angka dulu. Jangan menuduh sebelum semak dokumen rasmi Kementerian Kewangan,” tegasnya sambil menyindir pembangkang sebagai hanya pandai beretorik tanpa fakta.
Mahfuz turut menjelaskan bahawa kerajaan berjaya menurunkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus sambil mengekalkan bantuan bersasar kepada rakyat. Katanya, itulah keberanian sebenar dalam mengurus ekonomi negara secara seimbang antara disiplin fiskal dan kebajikan rakyat.
“Yang tidak berani ialah kerajaan dulu yang kononnya pandai tetapi akhirnya menambah hutang dan menabur janji populis,” katanya lagi.
“Kerajaan hari ini memilih keberanian yang berimbang, bukan membabi buta. Belanjawan ini berpijak pada realiti rakyat, bukan angan-angan MP kotak kasut berlagak pakar ekonomi.” katanya mengakhiri kenyataan.
Beliau menegaskan Belanjawan 2026 berpaksikan reformasi bersasar termasuk penstrukturan subsidi, digitalisasi perkhidmatan awam, cukai progresif serta langkah menurunkan defisit negara, bukannya janji kosong politik.
Baca juga:








