Bahasa Melayu Tak Boleh Jadi Bahasa Kedua – PM

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menghidupkan kembali budaya membaca yang semakin mundur, lemah dan pudar dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda.

Dalam satu ucapannya yang penuh intelektual, Anwar menzahirkan rasa kecewanya terhadap kecenderungan sesetengah pihak yang meminggirkan bahasa Melayu dalam Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta kehidupan seharian.

“Maknanya kita tak ada harga, kerajaan tidak memikirkan, memuliakan, memartabatkan bahasa,” katanya tegas.

Jelas beliau, walaupun bahasa Inggeris juga penting sebagai bahasa antarabangsa, bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu tidak seharusnya dikorbankan, apatah lagi ditinggalkan dalam sistem pendidikan negara.

“Tidak setuju dengan universiti kebangsaan, semua mesti Inggeris. Saya belajar di kolej bahasa Inggeris, tapi sementara saya fikir bahasa Inggeris itu penting, bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan.

“Dan selagi tidak ajar di universiti, dia akan tertinggal menjadi bahasa kedua,” ujarnya.
Anwar turut mengkritik institusi pengajian tinggi yang gagal memainkan peranan sebagai pemimpin pemikiran masyarakat.

“Malah universiti sendiri tidak memimpin. Sebab itu saya mengajak, saya selalu tekankan kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Zambry Kadir bahawa universiti itu harus memimpin pemikiran rakyat,” ujarnya.

Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.

Mengimbau tokoh-tokoh terdahulu seperti Tokoh ekonomi dan pendidikan negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dan Allahyarham Zaaba atau nama sebenarnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menegaskan kepentingan membina kekuatan intelektual dalam bahasa Melayu.

“Ini Ungku Aziz. Ungku Aziz menulis jejak-jejak di pantai zaman, dari Zaaba sampai ke Ungku Aziz, bicaranya soal kemiskinan,” katanya, sambil menambah bahawa sosok ini menulis demi martabatkan Bahasa Melayu.

Menyentuh soal budaya membaca, Perdana Menteri turut meluahkan kebimbangannya terhadap kelemahan minat membaca dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Budaya sekarang ini membaca sudah lemah, kemunduran, kelembapan, minat anak muda membaca. Dia tiada keupayaan bertahan 10 minit, setengah jam membaca.

“Jadi kalau dalam kuliah menggalak buku dalam membaca semua bawak, kalau tak buku mesti satu bab, jadi kena ada gesaan, baru dia ada minat,” katanya.

Beliau turut menolak pandangan segelintir pihak yang mengkritik penggunaan bahasanya yang dianggap berat.

“Banyak orang menegur saya, Anwar tak boleh ke nak gunakan bahasa yang lebih baik (merujuk kepada bahasa yang lebih ringan). Ya kalau saya pensyarah, kempen di kampung memang saya akan mudahkan sedikit.

“Tetapi sampai bila? Mungkin kita angkat, martabatkan bahasa kita, bangsa kita. Kalau bahasa di tahap yang lama, ilmu di tahap yang lama. Oleh itu kita angkat.”

Beliau turut menegaskan bahawa buku yang dianggap berat harus dihadam secara perlahan dan dibimbing oleh guru atau pensyarah agar mesej dan ilmu dapat difahami secara mendalam.

“Novel yang berat pun kita harus baca dengan teliti, dia tidak boleh baca sepintas lalu… Buku ini baca dan kalau ada guru yang memimpin, atau pensyarah yang memimpin, anjurkan kepada anak-anak. Itu bawa kertas, kita menghadamkan.”

Beliau turut menyeru ibu bapa agar meluangkan masa membaca bersama anak-anak atau cucu-cucu.

“Kepada ibu-bapa malah atuk, tentu saya sibuk. Saya tidak menyatakan oh tiap minggu saya baca buku pada tiap minggu kepada anak-anak, atau cucu.

“Tetapi bila kita ada kelapangan kita ambil satu buku, tunjuk pada cucu, bacakan sedikit dan ulaskan sedikit kepada mereka. Bila kita baca dan ulaskan sedikit dan mereka kata oh tidak susah rupanya.”

Anwar turut mencadangkan agar program seperti ‘Telaah Buku’ diperluaskan dan diperkasakan sebagai satu inisiatif kebangsaan yang bukan sahaja menggalakkan budaya membaca, tetapi turut berintegrasi dengan teknologi moden.

“Saya minta ibu bapa dalam beberapa hari ini dah beli buku, panggil anak, mak ayah baca dulu barulah anak-anak itu yakin (untuk membaca buku).”

“Jadi program telaah ini penting. Ia betul kita sebut macam digital, tahu tak kita galakkan digital untuk rakyat, AI untuk rakyat.

“Jadi mungkin dengan program telaah buku ini membawa sedikit algoritma sehingga ia masuk di dalam AI,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat