PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa memastikan keadilan kepada semua golongan, sama ada majoriti atau minoriti, adalah asas untuk keselamatan dan keharmonian negara.
Beliau berkata, pendekatan negara tidak seharusnya memihak kepada mana-mana kumpulan sehingga wujud ketidakseimbangan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial.
“Kalau kita nak selamatkan negara ini, kita kena jamin keadilan kepada golongan majoriti dan juga minoriti.
“Kita tidak mahu ada kaum menjadi majoriti, kita juga tidak mahu wujudkan minoriti. Jadi pendekatan kita harus lebih adil,” katanya dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan pada Rabu.

Tambahnya, adalah penting untuk menilai semula pelaksanaan dasar dan program kerajaan, termasuk perbelanjaan untuk digitalisasi dan transformasi teknologi, bagi memastikan hasilnya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Pelaksanaan dasar harus dilakukan secara telus dan kritis, mengambil kira pengalaman lalu seperti privatisasi dan penggunaan teknologi di jabatan kerajaan.
“Teknologi baru, termasuk kecerdasan buatan, tidak semestinya meningkatkan produktiviti jika tidak diurus dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pendekatan ekonomi dan pembangunan negara perlu inklusif, mengambil kira sumbangan dan keperluan semua komuniti, termasuk masyarakat Melayu, Cina, dan India, tanpa mengira saiz atau kedudukan mereka dalam populasi.
Anwar menekankan bahawa segala kelemahan dalam pelaksanaan dasar kerajaan akan diperbaiki, dan dialog bersama rakyat serta pihak berkepentingan akan diteruskan bagi memastikan dasar dan perancangan negara lebih berkesan dan adil.
“Apapun kelemahan kita, kita perlu baiki. Sekarang kita dengar semua pandangan. Dalam pelan bajet akan datang, kita akan ubah suai dan perbaiki,” katanya.
Baca juga: