Bangkai kucing, JPV P.Pinang beri peringatan pusat perlindungan

GEORGETOWN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang sudah memberi peringatan kepada pusat perlindungan haiwan di Jelutong dekat sini bagi menguruskan haiwan yang mati akibat penyakit atau punca lain dengan cara yang betul.

Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya menerima aduan mengenai penularan mengenai penemuan bangkai kucing dalam plastik hitam di tempat pembuangan sampah di hadapan rumah perlindungan haiwan berkenaan.

Pihaknya kemudian bergegas ke lokasi pada hari sama, manakala pemeriksaan terhadap tong sampah biru dan oren mendapati tiada bangkai kucing ditemukan.

“JPV Pulau Pinang turut menghubungi pengadu dan dimaklumkan bahawa sebanyak 10 bangkai kucing berkenaan hilang dan tidak ditemukan pengadu terbabit selesai buat laporan polis.

“Kita turut menyiasat pemilik pusat perlindungan haiwan iaitu SPCA Penang dan mendapati kucing di dalam plastik itu sudah mati sebelum dibuang oleh pihak berkenaan atas alasan tidak mempunyai tempat pelupusan khas bagi penanaman atau pembakaran bangkai,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jumaat lalu, media melaporkan mengenai gambar dan video tular memaparkan penemuan bangkai kucing dalam plastik hitam di tempat pembuangan sampah di hadapan rumah perlindungan haiwan, di Jelutong dan disyaki dibunuh.

Turut tular ialah laporan polis pengadu selepas mendakwa melihat pasangan suami isteri menaiki sebuah Perodua Myvi, yang membawa kucing liar dipercayai bagi dilupuskan di situ.

Mengulas lanjut, Saira Banu berkata, pihaknya turut membuat pemeriksaan lanjut di dalam premis SPCA dan mendapati tiada bangkai kucing atau haiwan lain yang dijumpai.

Katanya, siasatan juga mendapati, tiada unsur penganiayaan dan kezaliman ke atas kucing atau haiwan lain yang dikesan bagi siasatan lanjut.

“Pemantauan lanjut semalam juga tidak menemukan bangkai kucing dan haiwan lain yang mati.

“Kita tidak dapat mengesahkan punca kematian kerana tiada bangkai kucing ataupun haiwan lain yang dijumpai bagi tujuan bedah siasat.

“JPV Pulau Pinang memandang serius perkara ini dan peringatan juga sudah diberi kepada pihak pengurusan SPCA supaya mengurus haiwan yang mati akibat penyakit atau punca lain dengan cara yang sesuai,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat