Banjir: 191 Mangsa Dipindah Ke Empat PPS Di Sarawak

KUCHING: Situasi banjir di Sarawak terus memburuk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 191 orang daripada 62 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi.

Kesemua mangsa kini ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan di bahagian utara negeri itu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, PPS yang dibuka melibatkan kawasan Bintulu, Miri dan Subis.

Antara yang terjejas ialah PPS Dewan Suarah Bintulu yang menempatkan 56 mangsa daripada 14 keluarga serta PPS Dewan Bulan Sabit Merah di Miri yang menempatkan 29 mangsa daripada lima keluarga.

Dua lagi PPS di Subis turut menempatkan puluhan mangsa dari kampung berhampiran.

Mangsa terdiri daripada kanak-kanak, warga emas dan bayi yang kini mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM) turut digerakkan untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap termasuk di kawasan Batu Niah, Miri.

JPBN memaklumkan jumlah mangsa dijangka terus meningkat sekiranya hujan berlarutan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan sehingga pagi ini.

Situasi di Sarawak menambah kepada lebih 500 mangsa banjir di seluruh negara yang kini berlindung di PPS termasuk di Perak, Terengganu, Selangor dan Pahang.

Anda Mungkin Berminat