PETALING JAYA: Seramai 581 mangsa daripada 177 keluarga masih ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri setakat tengah malam tadi dengan Terengganu mencatat jumlah mangsa tertinggi.
Menurut laporan, seramai 292 mangsa daripada 90 keluarga di Kemaman dan Hulu Terengganu kini berlindung di 10 PPS.
Selain Terengganu, PPS turut dibuka di Kelantan, Sabah, Selangor, Sarawak dan Pahang.
Sementara itu, paras air di beberapa sungai utama di lima negeri dilaporkan melebihi tahap bahaya sekitar pukul 7 pagi tadi.
Di Terengganu, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut mencatat bacaan 0.16 meter dengan trend menaik.
Di Kelantan, Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai melebihi tahap bahaya pada 0.61 meter, juga dengan trend menaik.
Di Pahang, tiga sungai iaitu Sungai Belat di Sri Damai, Sungai Kenau di Sungai Rimau, Kuantan serta Sungai di Jambatan Chegar Perah, Lipis berada pada tahap bahaya sekitar pukul 7.15 pagi.
Di Selangor, aras air di Pandamaran, Klang melebihi tahap bahaya pada 0.84 meter, namun setakat pukul 7.30 pagi tidak menunjukkan perubahan.
Di Sarawak, aras air di Long Teru, Miri melebihi tahap bahaya pada 0.52 meter dengan trend menaik, manakala di Marudi, Miri, paras air 0.33 meter direkodkan dengan trend menurun.
Selain itu, beberapa sungai lain di Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor dan Sarawak turut dilaporkan berada pada tahap amaran dan waspada.
Antaranya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Tembeling di Kampung Merting serta Sungai Kuantan di Pasir Kemudi.
Keadaan semasa menunjukkan risiko banjir masih tinggi di beberapa kawasan dengan pihak berkuasa terus memantau perkembangan paras air sungai dan menasihatkan penduduk agar berwaspada serta mengikuti arahan keselamatan.








