Banjir di Enam Negeri: Lebih 14,900 Mangsa Dipindahkan ke 110 PPS

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di enam negeri terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 14,905 orang daripada 4,837 keluarga kini ditempatkan di 110 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 7 pagi Jumaat.

Menurut data Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa yang terlibat terdiri daripada 4,895 lelaki dan 4,831 wanita, termasuk 1,400 warga emas, 512 orang kurang upaya (OKU), 4,735 kanak-kanak serta 444 bayi.

Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 13,481 orang daripada 4,436 keluarga, yang ditempatkan di 82 PPS merangkumi enam daerah iaitu Kuantan, Maran, Rompin, Pekan, Jerantut dan Lipis.

Di Terengganu, sebanyak 18 PPS dibuka di tiga daerah membabitkan Kemaman, Hulu Terengganu dan Dungun, menempatkan 802 mangsa daripada 247 keluarga.

Sementara itu, Kelantan mengaktifkan empat PPS di daerah Gua Musang dan Kuala Krai, melibatkan 180 mangsa daripada 45 keluarga.

Di Johor, seramai 356 mangsa daripada 93 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah Mersing. Selangor pula mencatatkan 47 mangsa daripada lapan keluarga di sebuah PPS di Gombak, manakala Sarawak melibatkan empat mangsa daripada satu keluarga di sebuah PPS di daerah Miri.

Dalam perkembangan berkaitan, Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan 11 sungai di Pahang berada pada paras bahaya, selain sebatang sungai di Kelantan dan dua sungai di Sarawak.

Antara sungai yang mencatat paras bahaya di Pahang ialah Sungai Pahang, Sungai Tembeling, Sungai Kuantan, Sungai Lepar, Sungai Luit dan Sungai Keratong di beberapa daerah terjejas. Di Sarawak, paras bahaya direkodkan di Marudi dan Long Teru, Miri, manakala di Kelantan melibatkan Sungai Lebir di Kuala Krai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat