Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 9,700 orang daripada 2,978 keluarga setakat jam 2.55 petang ini.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 88 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah termasuk Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di seluruh Kelantan, Terengganu, Kuantan dan Jerantut di Pahang sehingga Jumaat ini.
Perlis, Kedah, Perak dan beberapa kawasan di Pahang juga diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk dalam tempoh yang sama.
Hujan berterusan tahap waspada dijangka melanda Raub, Bentong, Temerloh dan Bera di Pahang; Pulau Pinang; Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); serta Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar).

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat di Sabah hingga 29 November.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihati mangsa banjir untuk mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Kepada semua mangsa yang terjejas, saya mendoakan agar anda terus tabah menghadapi ujian ini dan semoga segala urusan dipermudahkan.
“Utamakan keselamatan dan patuhi arahan pihak berkuasa. Jangan ambil risiko yang boleh membahayakan nyawa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Baca juga:








