KOTA KINABALU: Keadaan banjir di Sabah terus membimbangkan apabila seramai 415 mangsa daripada 113 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan setakat pukul 8 pagi ini.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) yang dibuka bagi menampung penduduk terjejas.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, PPK Selagon di Beaufort yang dibuka sejak 9 September lalu kini menempatkan 155 mangsa daripada 51 keluarga.
Sementara itu, katanya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul, Kolopis menempatkan 59 mangsa daripada 19 keluarga, manakala Dewan Huguan Siou menjadi tempat perlindungan bagi 142 mangsa daripada 32 keluarga.
JPBN memaklumkan bahawa jumlah mangsa di SK St Paul meningkat susulan hujan berterusan sejak malam tadi, manakala di Dewan Huguan Siou menunjukkan penurunan.
“Setakat ini, sebanyak 22 kampung telah terjejas akibat banjir, melibatkan 14 kampung di Penampang dan lapan di Beaufort.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melibatkan kawasan pedalaman seperti Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan serta di kawasan Pantai Barat meliputi Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud.