Banjir: Dua PPS Di Petaling Dibuka

PETALING JAYA: Susulan banjir yang berlaku awal pagi tadi, dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Petaling dibuka bagi menempatkan mangsa yang terkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed memaklumkan, dua PPS terbabit adalah Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 yang menempatkan mangsa dari Kampung Bukit Lanchong.

“Satu lagi PPS adalah Sekolah Kebangsaan Seksyen 16, Shah Alam yang menempatkan mangsa dari Kampung Padang Jawa.

“Kedua-dua PPS ini menempatkan mangsa yang terkesan akibat bencana banjir yang dikategorikan sebagai bencana tahap 1 di kawasan dimaklumkan dan yang berhampiran,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Huzunul Khaidil berkata, PPS berkenaan akan beroperasi sepanjang tempoh diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin.

Sementara itu, MBSA memaklumkan laluan Batu 3 Lama yang sebelum ini ditutup kini dibuka semula selepas keadaan banjir menunjukkan tanda-tanda surut.

“Penduduk dinasihatkan agar terus berwaspada dan patuhi arahan pihak berkuasa. Sebarang kecemasan boleh hubungi Pasukan PANTAS di talian 03-55105811,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak lima daerah di Selangor dilanda banjir kilat awal pagi tadi selepas hujan lebat tanpa henti sejak jam 1 pagi.

Menurut maklumat daripada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah yang terjejas ialah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Antara kawasan terjejas di Petaling termasuk Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Tengah, Kampung Baru HICOM, Kampung Seri Aman, Kampung Padang Jawa serta laluan motosikal di Jalan Persekutuan, Shah Alam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat