Banjir Gelombang Ketiga: 468 Mangsa Dipindahkan di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir gelombang ketiga di Terengganu meningkat kepada 468 orang daripada 116 keluarga setakat jam 9 pagi ini, berbanding 103 orang daripada 24 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, Kuala Nerus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi melibatkan 372 orang daripada 91 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Kompleks Mengabang Telipot.

Di Kuala Terengganu, seramai 87 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di PPS SK Chendering, manakala di Dungun, 13 mangsa daripada dua keluarga berlindung di Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa laluan yang sebelum ini ditutup akibat banjir kilat semalam, termasuk Jalan Sultan Omar, Jalan Kamaruddin, Jalan Sultan Ismail menghala ke Bulatan Ladang serta Jalan Kamaruddin menghala ke Pengadang Akar, telah dibuka semula selepas keadaan air surut.

Sementara itu, berdasarkan laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, paras air sungai di tiga stesen iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1) di Hulu Terengganu serta Sungai Nerus di Kampung Langkap (F1) di Setiu dilaporkan melepasi paras waspada.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat