Banjir Hat Yai: 1,459 Rakyat Malaysia Berjaya Dipindah

KUALA LUMPUR: Usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari Hat Yai dan kawasan sekitarnya terus dipergiat selepas banjir besar melanda wilayah berkenaan sejak awal minggu ini, menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Paras air yang mula menunjukkan tanda surut sejak Khamis membolehkan kenderaan berat memasuki majoriti kawasan terjejas, meskipun beberapa lokasi masih mencatatkan bacaan air tinggi dan sukar diakses.

Operasi pemindahan dijalankan secara bersepadu melibatkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Tentera Diraja Thailand serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan Malaysia.

Usaha itu berlangsung sepanjang hari Khamis bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan banjir.

Antara operasi terbesar yang dijalankan ialah pemindahan 38 pelajar universiti dan pensyarah Malaysia, yang berjaya diselamatkan antara pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dengan bantuan aset dan anggota ketenteraan Thailand.

Secara keseluruhan, 1,459 rakyat Malaysia telah dipindahkan dari lebih 25 hotel sebelum dibawa ke sempadan Bukit Kayu Hitam (BKH) pada 27 November.

Hanya dua hotel masih belum dapat dimasuki kerana paras air yang masih tinggi.

Wisma Putra menjangkakan kurang 300 rakyat Malaysia masih terkandas dan operasi hari ini dijangka diteruskan sehingga semua individu disahkan selamat.

Kementerian turut menggesa mana-mana rakyat Malaysia yang belum mendaftar atau belum dapat dihubungi supaya segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla atau Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok bagi memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa kelewatan.

Anda Mungkin Berminat