PARLIMEN | Kurang daripada 500 rakyat Malaysia dipercayai masih terkandas di Hatyai, Thailand berikutan banjir besar yang melanda destinasi pelancongan popular itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memaklumkan bahawa seramai 177 rakyat Malaysia lagi telah diselamatkan pada pagi Khamis dan operasi menyelamat sedang diteruskan.
“Lebih 700 individu telah dipindahkan dari Hatyai ke Bukit Kayu Hitam, termasuk mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
“Setakat semalam, Jabatan Imigresen merekodkan 2,204 rakyat Malaysia telah melintasi sempadan melalui Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Wang Kelian,” katanya ketika menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH–Kluang) dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia yang masih terperangkap dapat diselamatkan.
Menurut Mohamad, keadaan cuaca yang semakin baik sejak semalam membolehkan pihak berkuasa Thailand dan pasukan sukarelawan menggerakkan bot ke kawasan terjejas setelah paras air sungai mulai surut.
“Alhamdulillah, hujan mulai reda sejak semalam. Beberapa bot bantuan telah dihantar oleh pihak berkuasa Thailand untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di tiga hotel di kawasan Hatyai lama, termasuk pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperangkap beberapa hari. Sebelum ini, arus sungai yang terlalu deras menghalang usaha menyelamat,” jelasnya.

Mohamad turut menerangkan bahawa lori kontena terpaksa digunakan untuk memindahkan mangsa kerana laluan dari Sadao ke Bukit Kayu Hitam masih tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil atau bas.
“Semalam ramai telah dibawa pulang, namun saya mohon maaf kerana kita terpaksa menggunakan lori kontena. Mangsa ditempatkan dalam kontena dan dibawa ke Bukit Kayu Hitam kerana laluan itu masih belum sesuai untuk kenderaan ringan,” katanya.
Beliau menambah bahawa operasi menyelamat bukan hanya tertumpu kepada rakyat Malaysia, tetapi turut membantu rakyat Thailand dan warganegara asing lain termasuk dari Brunei, Singapura dan Indonesia.
Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke kawasan yang sering dilanda banjir pada penghujung tahun. Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan Monsun Timur Laut dijangka berterusan sehingga hujung Disember.
“Walaupun hotel sudah ditempah, lebih baik tunda dahulu. Kita tidak mahu rakyat Malaysia terperangkap dalam situasi seperti ini,” ujarnya.
Baca juga:







