Banjir: Kerajaan aktifkan segala aset dan agensi keselamatan sepenuhnya

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kesiapsiagaan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada pada tahap optimum khususnya di Kelantan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan paras air dan banjir susulan musim tengkujuh.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kelantan menjadi antara negeri yang terjejas teruk dengan rekod mangsa banjir tertinggi melibatkan 3,487 keluarga dan 9,503 orang mangsa diikuti Perak iaitu seramai 485 keluarga dan 1,538 orang mangsa.

“Sehingga kini, Kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dan NADMA telah menggerakkan semua cabang agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana di setiap peringkat yang bertindak pantas dengan sokongan pelbagai aset termasuk telah mengaktifkan 63 Pusat Pemindahan Sementera (PPS) di seluruh kawasan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Ujarnya, saat ini lebih 1,205 anggota APM Negeri Kelantan telah digerakkan termasuk pasukan tambahan dari negeri-negeri berhampiran yang bersedia digerakkan pada bila-bila masa.

Tambahnya, bagi memastikan keselamatan rakyat, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berada di tahap yang berisiko tinggi.

“APM turut bersiap siaga bersama 91 aset darat dan air termasuk pelbagai jenis bot, ambulans, lori pelbagai guna, kenderaan pacuan empat roda, dron pemantauan serta peralatan menyelamat di air,” ujarnya.

Selain itu katanya, operasi pemantauan situasi cuaca, paras air sungai dan kawasan cerun berisiko turut dipertingkatkan melalui pemantauan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang beroperasi 24 jam.

Dalam pada itu, Kerajaan Madani turut memastikan semua mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibekalkan dengan barang keperluan bencana yang secukupnya seperti makanan asas, khemah, barang keperluan diri, ubat-ubatan dan sebagainya.

Justeru, Ahmad Zahid menggesa semua mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS dan penduduk yang berada di kawasan berisiko agar mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa, bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa dan harta benda semasa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat