Banjir kilat di Paloh, 10 mangsa dipindah ke PPS

GUA MUSANG: Hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan enam keluarga di Paloh, dekat sini berlindung di Pusqt Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Felda Chiku 5.

Menerusi laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 10 mangsa tersebut membabitkan tujuh dewasa dan tiga kanak-kanak.

Dalam pada itu, satu PPS di Pendang telah dibuka sejak 25 Oktober lagi menempatkan 45 mangsa daripada 11 keluarga.

Setakat berita ini ditulis, cuaca baik di seluruh Malaysia.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan rantau negara kini berada fasa akhir peralihan monsun manakala Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berlaku pada pertengahan bulan November 2025. 

“Semasa musim MTL ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat diramalkan berlaku. Episod hujan lebat dijangka bermula di Negeri Kelantan dan Terengganu seawal November 2025, dan berkemungkinan berterusan pada Disember 2025 hingga Januari 2026. 

“Keadaan yang sama turut berpotensi berlaku di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. 

“Pada Februari 2026, Johor dan Sarawak masih berisiko menerima episod hujan lebat, manakala Sabah dijangka terus mengalami keadaan tersebut sehingga Mac 2026,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut info itu lagi, hujan lebat yang berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir. Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk. 

Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Anda Mungkin Berminat