Banjir Lumpur, Tanah Runtuh Jejas Bekalan Elektrik Di Pantai Timur Sabah

SANDAKAN: Beberapa daerah di Pantai Timur Sabah kini berdepan gangguan bekalan elektrik yang serius susulan kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang melanda kawasan Penampang.

Menurut Sabah Electricity, insiden tersebut telah menyebabkan menara penghantaran elektrik milik Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) tergelincir, sekali gus menjadi punca utama gangguan bekalan di kawasan Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.

“Usaha pemulihan segera giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan secepat mungkin.

“Segala kesulitan yang dihadapi amatlah dikesali,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, pasukan teknikal kini sedang bertungkus-lumus menjalankan kerja-kerja pemulihan dengan sokongan pelbagai agensi bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor bersama Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick telah melakukan tinjauan ke Kampung Pogunon dan mendapati sebanyak lapan lokasi tanah runtuh berlaku di sepanjang laluan Jalan Penampang–Tambunan.

Ewon turut memaklumkan bahawa beliau telah membawa isu bencana ini kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching, Sarawak pada Sabtu.

Anda Mungkin Berminat