KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di enam negeri meningkat kepada lebih 9,000 orang dengan Pahang mencatat angka tertinggi melebihi 8,300 mangsa.
Ratusan lagi penduduk turut dipindahkan di Terengganu dan Johor selepas hujan lebat berterusan menenggelamkan kawasan kediaman.
Di Pahang, sebanyak 8,381 mangsa daripada 2,949 keluarga kini ditempatkan di 69 pusat pemindahan sementara (PPS).
Kuantan antara daerah paling terkesan, apabila kawasan seperti Taman Guru dinaiki air dengan cepat.
Penduduk termasuk warga emas dan pesakit kronik terpaksa dipindahkan segera dengan bantuan pihak berkuasa serta sukarelawan.
Di Terengganu, 468 mangsa dipindahkan ke PPS selepas beberapa kawasan rendah dinaiki air.
Johor pula membuka PPS baharu di Mersing bagi menempatkan lebih 120 penduduk, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di negeri itu 347 orang.
Ramalan cuaca membimbangkan
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat berterusan di Pantai Timur sehingga hujung minggu ini, sekali gus berpotensi menambah bilangan mangsa dan menjejaskan operasi pemindahan.








