PETALING JAYA: Situasi banjir di Sarawak terus menyaksikan jumlah mangsa kini meningkat kepada 3,690 orang yang ditempatkan di 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, banjir melanda beberapa kawasan utama termasuk daerah Serian, Samarahan, Bintulu, Mukah, Miri dan Sibu.
“Menurut maklumat terkini yang diterima, situasi banjir di negeri ini terus mencabar apabila 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka dan kini menempatkan seramai 3,690 orang mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau berkata, semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas.
Katanya, koordinasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dipergiat bagi memastikan aset dan bantuan sampai segera kepada mangsa.
“Saya juga difahamkan bahawa amaran hujan berterusan masih dikeluarkan di beberapa lokasi yang berisiko.
“Justeru itu, kebersamaan seluruh agensi penyelamat di lapangan amat diperlukan untuk mempercepatkan proses pemindahan, keselamatan serta bantuan kecemasan,” katanya.
Mustapha turut mengingatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah apabila diarahkan.
“Keselamatan nyawa keluarga menjadi keutamaan Kerajaan MADANI ketika ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa keadaan banjir di Sabah semakin reda, namun 367 mangsa masih berlindung di dua PPS di daerah Beaufort.
Selain itu katanya, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar giat menjalankan program gotong-royong membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan terjejas.
Beliau turut menzahirkan doa agar semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.
“Marilah kita bersama-sama menyantuni dan membantu saudara-saudara kita yang terjejas dalam ujian ini.
“Saya akan terus memantau perkembangan terkini agar keselamatan penduduk terus menjadi keutamaan pihak berwajib di lapangan,” katanya.








