MIRI: Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan rendah di Sarawak mula dinaiki air, dengan penduduk di Miri, Bintulu dan Kanowit antara yang paling terjejas.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, paras air meningkat mendadak di beberapa kawasan sehingga memaksa pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir.
Antara PPS yang telah beroperasi termasuk Dewan Suarah Bintulu, yang mula dibuka tengah malam tadi dan menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada lelaki dan perempuan dewasa serta kanak-kanak, semuanya dari Kampung Kemunting yang terjejas selepas air naik secara mendadak.
Pasukan penyelamat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah kini giat memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin.
Selain Bintulu, beberapa kawasan rendah di Miri dan Kanowit turut dilaporkan dinaiki air, dengan pasukan penyelamat digerakkan untuk membantu penduduk.
Penduduk di Sibu pula diingatkan agar berjaga-jaga kerana paras air sungai berisiko meningkat.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan berada di kawasan rendah atau berhampiran sungai ketika hujan berterusan, peka terhadap arahan pemindahan yang dikeluarkan serta menyimpan dokumen penting dan barang keperluan asas di tempat selamat.
Orang ramai juga digesa sentiasa mengikuti maklumat rasmi daripada Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal Public InfoBanjir.
PPS yang dibuka akan terus beroperasi sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.








