Banjir, Tanah Runtuh Dan Kebakaran Jejas 3,308 Mangsa Di Enam Negeri

PETALING JAYA: Situasi bencana alam yang melanda beberapa negeri sejak pertengahan November terus memberi kesan besar apabila seramai 3,308 mangsa daripada 1,006 keluarga masih ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) di 15 daerah.

Menurut portal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bencana banjir, tanah runtuh dan kebakaran berskala besar itu melibatkan enam negeri dengan jumlah mangsa yang masih tinggi.

Di Perak, empat daerah masih terjejas dengan 16 PPS aktif menempatkan 671 keluarga atau 2,206 mangsa, menjadikan negeri itu paling terkesan setakat ini.

Di Selangor, tiga daerah terjejas dengan lapan PPS menempatkan 199 keluarga atau 604 mangsa, manakala seluruh negeri Perlis turut terlibat dengan dua PPS menempatkan 67 keluarga atau 186 mangsa.

Di Pahang, empat PPS dibuka di tiga daerah akibat banjir, melibatkan 12 keluarga atau 49 mangsa.

Kes tanah runtuh turut menambah beban mangsa bencana. Di Gua Musang, Kelantan, seramai 17 keluarga atau 52 mangsa terjejas, manakala di Cameron Highlands, Pahang, 10 keluarga atau 47 mangsa dipindahkan.

Di Gombak, Selangor, lapan keluarga atau 47 mangsa turut dipindahkan akibat kejadian sama.

Sementara itu, kebakaran berskala besar di Tawau, Sabah menyebabkan 22 keluarga atau 117 mangsa ditempatkan di PPS.

Sejak 13 November lalu, NADMA turut mengesahkan tiga kematian akibat bencana yang berlaku.

Anda Mungkin Berminat