PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, menandakan keyakinan terhadap kestabilan ekonomi domestik meskipun dunia berdepan ketidakpastian akibat konflik di Timur Tengah.
Dalam satu kenyataan, BNM berkata, kadar semasa adalah sesuai untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara sambil memastikan kestabilan harga.
OPR ini tidak berubah sejak Julai 2025.
“Ekonomi Malaysia menghadapi cabaran ini daripada kedudukan yang kukuh dengan pertumbuhan domestik yang mantap, inflasi sederhana, sektor kewangan yang sihat, dan kedudukan luaran yang stabil,” kata BNM.
BNM turut memberi amaran bahawa ekonomi global mungkin terjejas sekiranya konflik berlarutan, selain risiko penurunan akibat perdagangan dunia yang perlahan serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Namun, terdapat juga potensi kenaikan khususnya jika pertumbuhan global lebih kukuh, permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik meningkat serta sektor pelancongan terus mencatat prestasi mantap.
Malaysia mencatat pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025 dan dijangka mengekalkan momentum positif tahun ini.
Inflasi pula kekal rendah pada 1.6 peratus bagi Januari, tidak berubah berbanding Disember lalu.








