Bank Rakyat sumbang 460 set komputer kepada sekolah di Penampang, Kadamaian

Oleh: Hanim Nadia

PENAMPANG: Bank Rakyat, melalui Program Jangkauan Komuniti MADANI, telah menyumbang RM144,000 kepada 72 sekolah di kawasan Penampang dan Kadamaian, Sabah, melibatkan 1,440 pelajar dari keluarga B40.

Selain itu, 460 set komputer juga disumbangkan kepada 55 sekolah di kawasan tersebut untuk meningkatkan akses pendidikan digital.

Sumbangan disampaikan di SK Piasau Kota Belud dan SMK Limbanak, Penampang, semalam oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Menurut Ewon, ini menunjukkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam memperkasa pendidikan dan membantu pelajar yang memerlukan.

“Bagi pihak pelajar dan sekolah yang menerima sumbangan-sumbangan ini, saya ucapkan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian keperluan dalam gerakan pendidikan bagi melengkapkan usaha sedia ada khususnya yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, Bank Rakyat juga melaksanakan Program Ehsan@KUSKOP dengan menyumbang RM3 juta untuk membantu keluarga berdaftar dalam e-Kasih di tiga daerah, iaitu Kudat, Kota Marudu, dan Kota Belud.

Tambahnya, ini merupakan usaha untuk memperkasa pendidikan anak-anak di luar bandar.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, inisiatif ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dan memastikan pelajar mendapat akses kepada pendidikan dan teknologi yang lebih baik.

Ia juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan pendidikan digital di kawasan luar bandar.

“Bank Rakyat komited untuk terus menyokong agenda pendidikan negara dengan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat