KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 18 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat berbanding 17 peratus tahun sebelumnya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pembayaran itu membabitkan jumlah agihan sebanyak RM534.7 juta kepada anggota.
Menurutnya, prestasi kewangan kukuh membolehkan institusi berkenaan mengekalkan kadar dividen tinggi sebagai penghargaan kepada anggota.
“Pembayaran dividen ini akan memanfaatkan seramai 783,324 anggota dan merupakan antara kadar tertinggi yang dicapai,” katanya dipetik Harian Mentro pada sidang media pengumuman prestasi kewangan Bank Rakyat pada Khamis.
Pembayaran dividen itu akan dilaksanakan bermula 16 April 2026.
Dalam pada itu, beliau berkata Bank Rakyat terus menyokong pembangunan ekosistem koperasi melalui sumbangan kepada dana berkaitan.
Sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM38 juta disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi, manakala satu peratus atau RM19 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
“Jumlah keseluruhan sumbangan bagi 2025 meningkat kepada RM57 juta berbanding RM54.7 juta pada tahun sebelumnya,” katanya.
Bagi prestasi kewangan, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion, meningkat 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, jumlah aset turut berkembang 6.6 peratus kepada RM131 bilion, dipacu pertumbuhan pembiayaan runcit dan usaha pendigitalan.
Pendapatan utama bank berkenaan meningkat kepada RM6.8 bilion, manakala baki pembiayaan kasar mencatat pertumbuhan 8.6 peratus kepada RM93.3 bilion, melebihi purata industri.
Baca juga:








