KUALA LUMPUR: DAPSY menyuarakan rasa kesal dan mengecam sekeras-kerasnya insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, yang cedera ketika menjalankan operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru pada Khamis.
Dalam satu kenyataan, DAPSY merakamkan simpati terhadap Sulizmie dan mendoakan agar beliau segera pulih.
“DAPSY kesal dengan insiden serangan ke atas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, yang cedera ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru.
“Kami (DAPSY) merakamkan simpati dan mendoakan agar beliau segera sembuh,” kata kenyataan itu.
DAPSY menegaskan bahawa mencederakan penjawat awam khususnya anggota polis yang sedang menjalankan tugas, adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Tindakan mencederakan penjawat awam khususnya anggota polis yang sedang menjalankan tugas, adalah perbuatan melampau dan sama sekali tidak boleh diterima.
“Keselamatan pasukan penguat kuasa wajib dihormati,” katanya.
Mengulas lanjut, DAPSY berkata, kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
“Namun, kebebasan ini tidak boleh disalahgunakan demi kepentingan politik sempit sehingga mencetuskan provokasi, keganasan atau menggugat ketenteraman awam,” katanya.
DAPSY turut menggesa pihak berkuasa agar menjalankan siasatan penuh dan mengenal pasti semua pihak yang terlibat dalam insiden tersebut.
“DAPSY mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mencederakan ACP Sulizmie.
“Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan penuh, mengenal pasti serta menangkap semua pihak terlibat termasuk dalang di sebalik insiden tersebut,” katanya lagi.
Sekiranya terbukti wujud unsur provokasi bermotif politik, DAPSY menuntut agar tindakan tegas diambil segera.
DAPSY turut menyeru agar segala bantahan disalurkan melalui saluran undang-undang yang sah.
“DAPSY menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.
“Segala bantahan atau ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui proses undang-undang dan kehakiman termasuk semakan kehakiman, bukannya melalui keganasan atau kekerasan,” katanya.
DAPSY menyeru rakyat agar menolak sebarang bentuk hasutan dan maklumat palsu yang boleh menggugat perpaduan.








